Followers

Bukan Mudah Memutuskan Hubungan Tetapi Kuatlah Kerana Allah


Kalau lah diikutkan hati remaja ku ini, memang aku tak sanggup nak memutuskan hubungan yang sudah memakan masa dua tahun ini.
Tapi disebalik rasa itu, aku percaya Allah sudah tentukan yang terbaik untuk ku walaupun bukan sekarang tetapi In Sha Allah di akhirat sana.
Perempuan, sungguh hatinya sangat nipis tak seperti kebanyakan lelaki.
Pertengahan  tahun 2009, dengan takdirNya aku mengenali seseorang. Perkenalan kami mungkin seperti kebanyakan remaja lain juga. Kami mula kenal dari satu insiden di mana salah seorang dari kawan kami telah memberi nombor telefonku kepadanya.
Jadi dipendekkan cerita, kami mula rapat dan mengenali isi hati masing-masing melalui sms sahaja.
Tidak pernah pun melihat paras rupa. Hanya kata-kata sms dan juga suara dari telefon. Itupun kadang-kadang sahaja.
Dari hari ke hari kami mula rasa persahabatan itu sudah bertambah erat. Malah katanya, hubungan kami sudah seperti lebih dari teman tapi mesra. Apa tidaknya, setiap hari kalau boleh kami sentiasa mengirim sms.
Sehinggalah, aku diizinkan memasuki salah satu pusat matrikulasi.
Dia? Dia melanjutkan pelajaran peringkat asasi di salah satu universiti terkemuka di Malaysia. Namun begitu, hubungan kami masih seperti dahulu, malah aku rasakan makin erat.
Entah. Susah untuk aku rungkaikan kenapa.
Setelah berfikir dengan akalku yang hanya berusia lapan belas tahun ketika itu, aku mengambil keputusan untuk menjarakkan sedikit hubungan kami.
Caranya, aku menetapkan hanya hujung minggu kami dibenarkan ber’sms’.
Walau sangat berat hatinya, tetapi dia tetap menerima. Namun entah mengapa, hatiku sendiri tidak betah dengan tindakanku sendiri. Jadi kami terus ber’sms’ setiap hari seperti kebiasaannya.

Mengapa aku memutuskan hubungan?

Sehinggalah satu hari, ketika di makmal komputer dimana sedang aku melayari satu laman web berunsur islamik, aku menemui sesuatu. Sesuatu yang membuat aku membuka mata dan hati aku seluas-luasnya sampailah hari ini.
Satu artikel benar-benar menarik perhatian aku. Artikel tentang cinta remaja yang aku baca itu sangat berkait rapat dengan hubungan aku dengan si dia.
Malah sangat-sangat refleks kepada hubungan kami. Penulis artikel itu membicarakan bagaimana cinta yang dia dan pasangannya jaga selama ini sebenarnya satu cinta yang haram.
Seperti penulis itu, kami juga akan sentiasa mengejutkan antara satu sama lain untuk menunaikan solat subuh. Malah sentiasa memberi kata-kata semangat dan nasihat jika ada di antara kami yang lemah tersungkur dalam pelajaran.
Kami juga beranggapan bahawa hubungan kami selama ini adalah sebagai hubungan percintaan yang islamik!
Ok, mungkin bukan hubungan cinta kerana aku tidak pernah menyatakan perasaan cinta aku padanya.
Malah satu ayat cinta pun tidak pernah keluar dari mulutku walau berkali-kali dia menyatakannya padaku. Aku masih pada pendirian aku, iaitu tidak akan bercinta dengan sesiapa sebelum aku berkahwin. Apa yang aku nak, biarlah aku bercinta dengan suamiku sahaja.
Bercerita tentang hubungan cinta yang islamik, kami betul-betul berusaha ke arah itu. Sungguh melucukan apabila aku mengingati semua itu. Berjanji setia tidak akan ber’sms’ kosong. Berjanji untuk saling mengingati tentang hal-hal berkaitan Islam.
Bila difikirkan balik, itu semua alasan kami untuk terus ber’sms’ setiap hari. Cuma diselitkan dengan hal-hal agama. Sungguh memalukan mempergunakan Islam untuk kepentingan sendiri.
Namun setelah aku membaca artikel di laman web itu, aku mula sedar selama ini hubungan yang kami katakan halal itu sebenarnya haram.

Bagaimana pula ia menjadi haram?

Aku hairan namun setelah mendapat pencerahan dari artikel itu, aku yakin aku tidak salah.
Haramnya hubungan kami apabila adanya rindu pada si dia. Setiap kali aku membayangkannya, setiap kali itulah dosa kecil ku bertambah.
Malah rasa rindu itu juga dikatakan salah satu zina hati.
Apabila zina hati dibiarkan merebak, ia akan berterusan menjadi zina yang maha dahsyat lagi. Ya Allah, macam mana aku tidak mengetahuinya sebelum ini.
Pada masa itu, aku betul-betul keliru. Apakah benar semua ini?
Kerana aku tidak pernah mendengar perkataan zina hati semasa aku di sekolah dulu-dulu. Selepas beberapa masa aku tenangkan fikiran, aku mengambil langkah untuk memutuskan hubungan yang ada antara aku dengan si dia.
Sudah tentu, siapalah yang hendak tanggung dosa-dosa kecil sehingga menjadi dosa besar sedangkan dosa-dosa sebelum ini sudah banyak yang bapaku perlu tanggung.
Tapi bagaimana?
Bagaimana untuk aku menyatakan hasratku ini padanya.
Aku cukup yakin yang si dia susah untuk menerimanya malah menolak untuk memutuskan hubungan ini. Ya, ternyata benar sangkaanku.
Disebabkan aku tidak mahu memberi sebab yang sah kenapa aku hendak memutuskan hubungan kami, ia menjadi bertambah sukar untuk aku tinggalkannya.
Mungkin juga, hubungan kami yang sudah terlalu lama ketika itu menyukarkan aku untuk meninggalkannya.
Dengan berat hati, aku meneruskan jua hubungan terlarang itu. Dalam rasa bersalah, aku berusaha untuk tidak menyakiti hatinya.
Kerana bagi aku, tidak patut aku membuat si dia bersedih. Hari demi hari yang aku lalui selepas mendapat tahu bahawa hubungan kami itu sebenarnya haram, aku rasakan semuanya tidak kena.

Rasa bersalah kerana memutuskan hubungan

Rasa senang bersamanya selama ini sudah semakin pudar. Mungkin kerana rasa bersalah ini menebal. Pernah juga aku cuba meninggalkannya tanpa sebab, tanpa sms tapi tidak lama.
Rasa bersalah aku dengan hubungan terlarang itu tidak cukup untuk aku menghapus rasa bersalahku pada si dia.
Mungkin si dia terlalu baik untuk aku sakiti. Aku takut jika aku meninggalkannya, si dia akan bertindak di luar batas. Tambah satu lagi dosa aku dengan memudaratkan orang.
Setahun kemudian, setelah aku layak memasuki universiti, aku mula memikirkan satu idea yang aku kira sangat ideal untuk aku meninggalkannya.
Aku membohonginya yang aku tidak layak ke universiti dan bersedia untuk memulakan kerja-kerja yang biasa sahaja.
 Sangkaanku si dia akan meninggalkanku kerana aku sudah tidak setaraf dengannya. Namun semua usaha aku itu sia-sia. Si dia tetap bersama denganku untuk memberi kata-kata semangat seperti sebelumnya.
Si dia terlalu baik. Sangat baik.

Ya Allah, jadi bagaimana untuk aku lari dari semua ini?

Selepas beberapa ketika, aku memberitahunya perkara sebenar yang hakikatnya aku sedang menyambung pelajaran di salah satu universiti di timur Semenanjung.
Si dia tersangat marah dan kecewa denganku.
Tetapi, marahnya bukan kerana aku menipunya tetapi marah kerana si dia tahu niat aku untuk meninggalkannya. Mungkin ini masanya untuk aku kembali kepadanya dan bahagiakannya. Itu fikirku.
Namun, aku seolah-olah tidak senang dengan semua ini.
Aku rasakan setiap hari dan masa yang aku lalui dengannya itu sia-sia. Bagaimana ianya sia-sia sedangkan niat aku hanyalah untuk membahagiakannya?
Ini semua kerana dosa-dosa yang lahir dari hubungan kami.
Mungkin dosanya tidak kelihatan kerana kami tidak pernah bertemu malah tidak pernah pun bersua muka. Namun, aku tahu setiap kata-kata sayangnya padaku itu dosa yang tidak pernah aku nilai.
Puas sudah aku mengangkat tangan berdoa pada Yang Esa supaya dibukakan hati si dia untuk menerima keputusan aku itu dan memudahkan setiap jalan aku untuk meninggalkannya.
Namun, Allah masih menguji aku dengan sikap si dia yang keberatan untuk memutuskan hubungan kami.
Terkadang aku fikir, mungkin si dia adalah jodoh sebenar aku. Jadi sebab itulah, Allah masih mahu kami sentiasa berhubung. Entahlah. Jodoh dan semuanya datang dari Allah. Aku masih ragu-ragu tentang itu.

Bukan mudah melupakan, tetapi kuatlah kerana Allah

Hinggalah awal tahun 2011, aku dipinjamkan kekuatan oleh Allah untuk betul-betul melepaskan  si dia. Aku juga hairan kenapa pada saat itu hati aku seperti ikhlas merelakan hubungan yang sudah lama ini terputus.
Mungkin Allah telah mendengar doa-doa ku sebelum ini. Alhamdulillah Ya Allah. Walaupun masih teringatkannya, namun aku percaya Allah sentiasa memegang hati ku erat.
Bukan mudah bagi seseorang perempuan untuk meninggalkan seseorang yang sudah menjadi sebahagian dari hidupnya. Sungguh bukan mudah!
Aku sendiri sudah beberapa kali mahu melepaskan si dia namun hati ini masih belum kuat. Alhamdulillah berkat doaku untuk kembali mencintai apa yang aku patut cintaiselama hampir dua tahun itu termakbul juga.
Alhamdulillah
*diambil dari blog : http://akuislam.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan