DEFINISI USRAH

APA ITU USRAH???


APA YANG DINAMAKAN DENGAN USRAH?


Dari segi bahasa, perkataan usrah (bahasa Arab) bermaksud keluarga. Kamus Dewan Edisi Ketiga pula menyatakan, usrah ialah perkumpulan yang melibatkan kegiatan agama seperti perbincangan tentang sesuatu tajuk agama dan sebagainya.
Dari segi istilah, usrah ialah ikatan perpaduan yang dibina atas dasar iman dan Islam dengan berusaha tolong-menolong sesama sendiri untuk memahami dan menghayati Islam; berusaha mempertingkatkan ilmu dan amal, dan menghindari maksiat dan permusuhan berdasarkan firman Allah (maksudnya):
“Bertolong-tolonganlah kamu berbuat kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya dan takutlah kepada Allah.” [Al-Maidah, 5:2]
TERDAPAT TIGA PERKARA PENTING DALAM USRAH IAITU:
>TA'ARUF(BERKENALAN)
>TAFAHUM(SALING MEMAHAMI)
>TAKAFUL(TOLONG MENOLONG)

Bila Usrah Mula Diperkenalkan?
Usrah mula dipopularkan oleh gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir di bawah pimpinan Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna pada tahun 1928. Beliau telah menulis sebuah risalah yang bertajuk “ Usrah dan Dakwah” antara lain menggariskan konsep asas, perlaksanaan serta aplikasi usrah.
Namun, tidak dinafikan sebelum itu juga terdapat banyak inisiatif dan pendekatan berkonsepkan usrah yang digunapakai oleh pelbagai gerakan Islam yang cuba melakukan pembaharuan terhadap Islam yang semakin terpinggir ketika itu. Malah jika diteliti secara lebih terperinci sirah Nabi Muhammad s.a.w, konsep usrah telah pun bermula ketika Nabi mengumpulkan golongan terawal yang memeluk Islam di rumah Al-Arqam Bin Abi Al-Arqam di Mekah bagi menyampaikan wahyu-wahyu yang diturunkan melalui perantaraan Jibril kepada baginda.
Kenapa Usrah Penting?

Pertama kerana ia adalah sunnah Rasulullah s.a.w seperti yang diterangkan di atas. Pastinya dengan melaksanakan sunnah kita akan diganjari dengan pahala yang bukan sedikit.
Kedua, usrah mampu melahirkan individu Muslim yang soleh dan solehah. Pelbagai ancaman luaran seperti fenomena murtad, syiah, budaya hiburan melampau (hedonisme), agenda Yahudi, fahaman kebebasan mutlak (liberalisme) dan banyak lagi hanya mampu dibendung oleh individu Muslim yang sempurna aqidahnya, benar ibadahnya serta cantik akhlaknya.
Ketiga, usrah menjana sendi-sendi kekuatan umat Islam seperti persaudaraan, kefahaman agama dan kekuatan teknologi. Lompong-lompong inilah yang menyaksikan umat Islam ditindas, dibantai dan dizalimi di seantero dunia tanpa pembelaan yang sewajarnya.
Bahkan banyak lagi kepentingan usrah yang lain jika kita perhalusi dengan lebih mendalam. Mudahnya, jika masa kita tidak diisi dengan agama, secara fitrah ia akan terisi dengan pelbagai anasir negatif yang merugikan. Selain itu,

  • KEMBAR IMAN ITU UKHUWWAH

Tidak syak lagi, ukhuwwah itu amat penting dalam setiap penjuru kesinambungan hidup. Ibarat biri-biri yang bersendirian di tengah padang, mudah saja menjadi mangsa serigala. Namun, andaikan biri-biri sentiasa bergerak dalam kumpulan, serigala pun takut mendekati kerana yang banyak itu tentunya tampak lebih kuat.

Begitu juga perihalnya kita sebagai manusia. Bertindak secara jemaah itu sangat penting agar survival dakwah lebih kuat dan berjalan lancar. Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” [Ash-Shaff, 61:4]

Dalam meneruskan kehidupan sehari-harian, kita tidak terlepas daripada godaan syaitan dan tuntutan nafsu yang mengajak menuju kemurkaan-Nya. Iman di dada acapkali turun naik dalam pertarungan antara yang hak dan batil. Di sinilah, ukhuwwah memainkan peranan mega kerana sahabat yang baik akan saling mengingatkan antara satu sama lain.
Firman Allah:

“Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”[Adz-Zariyat, 51:55]

Apabila ada yang hampir tergelincir daripada landasan haq, di situlah akan ada teman yang menyelamatkan.
Apabila ada yang semakin lari daripada tuntutan Islam sebenar, di situlah akan ada teman yang mengejar memanggil pulang.

  • PEMBUDAYAAN ILMU YANG BERTERUSAN
Pengisian dalam liqa’ usrah adalah satu bentuk muzakarah ilmu yang memang sangat digalakkan oleh Islam. Ilmu itu sangat penting, dan sesungguhnya Allah meninggikan darjat orang-orang yang berilmu. Allah S.W.T ada berfirman:

“Katakanlah: ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” [Az-Zumar ,39:9]

Dengan ilmu, seseorang itu dapat membezakan antara yang hak dan batil. Dengan ilmu jualah seseorang itu mampu menyebarkan risalah dakwah kepada orang lain.
Jika diselak sejarah lampau, antara faktor kekuatan empayar Islam suatu ketika dahulu adalah daripada sikap tamadun semasa yang sangat menghargai dan membudayakan ilmu pengetahuan. Nah, bukankah kita ingin mengembalikan zaman kegemilangan Islam?
Walaupun perkongsian ilmu dalam liqa’ bersifat lebih santai dan tidak termasuk dalam silibus pembelajaran, tetapi setiap butir kalimah yang dikongsi itu akan bercambah dengan baik jika bijak memanfaatkannya. Dan sesungguhnya, hanya Allah jua yang layak menilai sejauh mana usaha kita mencari ilmu pengetahuan ke arah menggarap hidayah daripada-Nya.

Bagaimana Perlaksanaan Usrah?

Usrah lazimnya diadakan seminggu sekali, namun kekerapannya mungkin berbeza-beza mengikut kesesuaian dan persetujuan ahli kumpulan.
Biasanya ia dimulakan dengan bacaan Al-Quran, kemudian diikuti dengan pelbagai agenda lain antaranya tafsir Al-Quran, pengajaran hadis, sirah Nabi, perbincangan masalah feqah, berita dunia Islam, kajian buku serta penyelesaian masalah ahli.
Selain sesi perjumpaan berbentuk dalaman, aktiviti-aktiviti luar turut diadakan bagi memperkaya dan memperkukuh objektif perlaksaaan usrah. Antaranya termasuklah qiamullail (solat malam), berpuasa, sukan dan rekreasi, perkelahan, perkhemahan, konvoi menjelajah, aktiviti kemasyarakatan, seminar serta banyak lagi.
KESIMPULAN
Usrah boleh disertai oleh sesiapa sahaja yang berminat
Usrah bukan untuk orang yang baik
Tapi usrah untuk semua orang.
Usrah jugak bukan sekadar
mengisi masa lapang
tetapi usrah ada objektif
dan matlamatnya.

JOM USRAH




Ulasan

  1. Assalamualaikum. Mohon izin gunakan poster ya. Jzk atas perkongsian ilmu.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Antara Tips-tips untuk kurus secara Sihat